Wednesday, September 17, 2008

Musuh-Musuh Iblis & Sahabat-Sahabat Ibli‏s

Musuh-Musuh Iblis

Musuh iblis yang Pertama ialah nabi Muhammad saw. Andaikata kita membenci Rasulullah, dengan menghinanya, mempersendakannya dan menolak segala perintahnya maka kita juga musuh Rasululllah dan rakan kongsi syaitan. Andaikata kita bersekongkol dengan kafir kristian, kafir yahudi atau pun kafir hindu maka kita juga adalah musuh Rasulullah dan musuh Allah.

Musuh ke-2 syaitan ialah pemerintah yang adil, yang melaksanakan segala perintah yang terkandung dalam al Quran tanpa memilih milih. Mereka melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi. Mereka tidak memilih kawan kroni dalam menganugerahkan sebarang kontrak, mereka tidak bertemu rakyat hanya apabila pilihan raya datang.

Musuh ke-3 syaitan ialah orang kaya yang tawadhu' yang merendahkan diri dengan segala kekayaan yang dimiliki. Mereka tidak hanya menderma dihadapan tv dengan cek maya malah sering menderma tanpa diketahui.

Musuh ke-4 syaitan ialah peniaga yang jujur. Peniaga yang berniaga bukan setakat mengira keuntungan malah membuat kebajikan. Peniaga yang mengingati kewajipan zakat melebihi kemewahan ketika menutup kira-kira tahunan.

Musuh ke-5 syaitan ialah orang berilmu yang merendah diri. Mereka tidak pernah mengatakan orang ini jahil dan orang itu bodoh, malah sering membantu menyelesaikan masalah.

Musuh ke-6 syaitan ialah orang mukmin yang sering memberi nasihat. Mereka tidak diam membisu apabila berhadapan dengan pertolongan, nasihat yang diberikan adalah ikhlas, tanpa mengharap sebarang upah ganjaran.

Musuh ke-7 syaitan ialah orang mukmin yang lembut hatinya. Mereka mudah simpati dengan saudara mereka yang ditimpa kesusahan, mereka umpama jasad yang satu. Cubit paha kiri, paha kanan terasa jua.

Musuh ke-8 syaitan ialah orang yang bertaubat dan kekal dengan taubatnya tanpa mengulangi perbuatan maksiat.

Musuh ke-9 syaitan ialah orang yang menjauhkan diri dari perkara haram.

Musuh ke-10 syaitan ialah orang mukmin yang sentiasa dalam keadaan suci tubuh badan. Mereka sentiasa berada dalam wudhu'.

Musuh ke-11 syaitan ialah orang mukmin yang banyak bersedekah. Mereka lebih merasakan kesusahan orang lain dan tidak mementingkan diri sendiri.

Musuh ke-12 syaitan ialah orang mukmin yang baik akhlaknya sesama manusia.

Musuh ke-13 syaitan ialah orang mukmin yang boleh memberi manfaat kepada orang lain. Mereka tidak kedekut ilmu, pengetahuan atau pun pengalaman.

Musuh ke-14 syaitan ialah orang yang sentiasa membaca Al-Quran.

Musuh ke-15 syaitan ialah orang yang bangun tengah malam sedangkan orang lain masih nyenyak tidur.

Sahabat-Sahabat Iblis

Nabi Muhammad SAW bertanya kepada Iblis; Siapakah pula sahabat-sahabat mu ?

Lantas jawab iblis laknatullah, ada 10 golongan.

Yang Pertama: Pemerintah yang kejam dan zalim. Pemerintah yang hanya mengira kesenangan dirinya tanpa mempedulikan kesusahan rakyat.

Sahabat ke-2; orang kaya yang sombong dan bongkak. Orang kaya yang suka menghina golongan marhain, mereka menganggap orang-orang miskin sebagai menyusahkan. Mereka suka menunjuk-nunjuk kekayaan mereka.

Sahabat ke-3; Peniaga yang khianat. Tak kira sama ada peniaga runcit atau golongan korporat.

Sahabat ke-4; Peminum arak. Ingatlah bahawa arak adalah punca kepada segala kejahatan. 10 kutukan Allah bersangkutan dengan arak, diantaranya ialah peminumnya, tukang perah, penjual, orang yang memakan keuntungannya, pembawa dan juru hidangnya. Apatah lagi yang menyediakan dan yang meluluskan operasinya. Mereka ini sentiasa dilaknat Allah.

Sahabat syaitan ke-5; orang yang suka mengumpat dan mengadu domba.

Sahabat syaitan ke-6; Orang yang berzina dan segala perkara yang berkaitan dengannya. ni termasuklah meluluskan premis zina, mengambil keuntungan dan cukai perniagaan. Mari kita tanya kepada golongan ini, adakah mereka suka isteri mereka berzina dengan anak muda atau anak perempuan mereka berzina dengan teman lelakinya ? Jika tidak, kenapa masih bersekongkol dalam meluluskan premis-premis perniagaan ini. Saban minggu cerita pelacuran didedahkan di media massa. Apakah mereka ini pekak atau memang suka kepada zina.

Sahabat syaitan ke-7 ; Pemakan harta anak yatim. Ini termasuklah mereka yang memungut derma dengan menjanjikan habuan untuk anak yatim tetapi sebaliknya segala kutipan dikebas habis.

Sahabat syaitan yang ke-8 ; orang yang meringan-ringankan solat. Ini termasuklah orang yang mementingkan kerja daripada sembahyang. Mereka sanggup meninggalkan solat fardhu hanya kerana membentangkan perjuangan yang belum selesai.

Sahabat syaitan ke-9; Orang yang enggan mengeluarkan zakat, tetapi tamak kepada wang zakat. Dengan kuasa yang ada pada tangan mereka, wang zakat diperlakukan semahunya. Golongan yang berhak dipinggirkan.

Sahabat syaitan ke-10 ; orang yang panjang cita-cita. Mereka ini bercita-cita untuk hidup lama dan amat takut dengan kematian.

Inilah sepuluh golongan kroni iblis yang dilaknat Allah. Mungkin mereka mempunyai alasan untuk menjawab setiap tindak tanduk mereka namun apa pun alasan, mereka tetap saudara iblis laknatullah.

Justeru, hitunglah diri kita. Dimanakah kita berada? Adakah kita bersama-sama Rasulullah SAW atau bersama iblis laknatullah. Kita tahu bahawa iblis adalah musuh kita. Kita sedar bahawa iblislah yang enggan tunduk sujud pada datuk kita Adam A.S. Kerana Iblislah Nabi Adam dan Hawa terkeluar dari syurga. Iblis telah mula menipu sejak dari Adam lagi. Tetapi kita masih mengikutnya.

Firman Allah :

'Bukankah AKU telah memerintahkan kepada wahai anak Adam supaya tidak menyembah syaitan? Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata. Dan hendaklah kamu menyembah AKU, inilah jalan yang benar. Sesungguhnya syaitan itu telah menyesatkan sebahagian besar dari kamu, apakah kamu masih tidak memikirkan? Inilah neraka jahanam yang dulunya kamu diberi peringatan. Rasakanlah api neraka pada hari ini disebabkan kamu dahulunya mengingkari kewujudan neraka. Pada hari ini mulut-mulut kamu ditutup, tangan kamu pula boleh berkata-kata dan kaki-kaki kamu menjadi saksi terhadap apa yang kamu lakukan selama ini.'

( Surah Yassin : 60-65 )

No comments: